PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

03 June 2008

Pakatan Rakyat mahukan soalan daripada anda untuk dibawa ke Parlimen


Isnin, 2 Jun 2008 • Kategori: Berita Utama, Parlimen
AHLI-ahli Parlimen Pakatan Rakyat mahukan soalan daripada anda untuk dikemukakan di sidang parlimen kedua yang akan berlangsung daripada 23 Jun hingga 15 Julai.

Soalan-soalan yang boleh diutarakan perlulah berkaitan isu seperti masalah, aduan, cadangan atau apa-apa berkaitan dengan kawasan Parlimen anda.

Demokrasi pembabitan anda semua, menerusi soalan yang diutarakan membantu ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat melaksanakan tugas mereka sebagai wakil rakyat untuk rakyat dan negara.

Oleh itu, kirimkan soalan-soalan anda kepada parlimenpakatanrakyat@gmail.com

Sila sertakan sekali dalam kiriman emel anda:

- nama penuh (nama samaran boleh diterima dengan syarat disertakan nama penuh)
- alamat dan no telefon
- Ahli parlimen di kawasan anda

Anwar umum strategi memperkemas Pakatan Rakyat


Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Jun 02, 08 | 10:59:08 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Jun (Hrkh) - Pengerusi Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, selain dari kerjasama antara kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang disetujui sebelum ini, terdapat beberapa langkah tambahan bagi memantapkan lagi hubungan di antara ketiga parti.

Ujarnya, baru-baru ini satu mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat telah diadakan bagi membincangkan hal tersebut.

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden KeADIlan, Azmin Ali dam Sivarasa Rasiah; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Dr Chen Man Hin (DAP).

Ujar Anwar, mesyuarat itu telah memutuskan beberapa perkara mengenai Pakatan Rakyat.

Pertamanya, ujar Anwar Pakatan Rakyat membentuk sekretariat bersama membincang semua isu berkaitan dan diketuai bersama Dr Syed Husin, wakil DAP, Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Ketiga-tiga yang wakili parti ini juga ditugaskan menyiapkan draf kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, ujar Anwar dalam kenyataannya yang tersiar dalam blog mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Seterusnya mesyuarat bersetuju melantik Jawatankuasa Penyelaras Parlimen di antara Azmin Ali; wakil DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda PAS, Sallahuddin Ayub bersama beberapa ahli Parlimen lainnya untuk mempastikan wujudnya kerjasama erat dalam semua tindakan di Parlimen, katanya.

Mesyuarat itu juga bersetuju memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, katanya.

Dengan pengumuman itu juga, kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga tidak akan membeli atau mengiklan di akhbar tersebut. - mks.