PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

30 June 2008

Siapkan Segera Pembinaan Jalan Kampung Lubuk Kulit

Oleh: Basiron Abdul Wahab - HarakahDaily.net

Pihak berkuasa diminta menyiapkan pembinaan jalan kampung yang gagal disempurnakan pembinaannya di Kampung Lubuk Kulit, dekat sini.

Difahamkan jalan sejauh kira-kira satu kilometer itu dibina bawah projek Pembangunan Luar Bandar (PLB) bagi kemudahan penduduk kampung terbabit.

Malangnya, ia hanya ditar kira-kira 500 meter sahaja manakala bakinya kira-kira 500 meter lagi gagal disiapkan kononnya kekurangan peruntukan.

Untuk membina jalan berkenaan kontraktor telah menebang beberapa pokok buah-buahan milik penduduk (dengan kebenaran) agar pembinaan jalan itu diharap akan memberi kemudahan kepada mereka.

Bagaimanapun pengorbanan penduduk tidak dibalas pula pihak berkuasa apabila jalan yang dibina tidak disiapkan dengn sempurna sebagaimana diharap. Perkara demikian tidak wajar berlaku kerana ia mendedahkan suatu kepincangan dalam pengurusan rancangan.

"Tidak masuk akal langsung kerajaan boleh buat projek begini (tak sempurna) seolah-olah buat sesuka hati tanpa perancangan.

"Dulu kerajaan tidak buat ini, setiap projek mesti mempunyai bajet mencukupi jika tidak tender tidak akan dikeluarkan," kata seorang penduduk yang ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Tinjauan kelokasi mendapati memang benar jalan yang telah siap kira-kira sebulan lalu hanya di tar kira-kira 500 meter sahaja manakala bakinya hanya ditabur dengan batu kasar.

Permukaan jalan berbatu dan tidak rata sangat berbahaya kepada penunggang motosikal.

Sehubungan dengan itu penduduk mahu pihak berkuasa menyiasat bagi mengenal pasti sama ada peruntukan bagi projek berkenaan benar-benar tidak mencukupi atau dipindahkan ke lokasi lain.