PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

12 September 2008

PROSES MELOMPAT DIJANGKA BERMULA HARI INI?

by Ruhanie Ahmad
Siasah Malaysia dijangka mengalami satu kejutan dalam sehari dua lagi. Apa yang disifatkan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai mustahil dijangka menjadi realiti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim amat yakin bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan berjaya membentuk kerajaan pusat pada 16 September 2008 atau selewat-lewatnya selepas rombongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kembali ke tanahair daripada “lawatan sambil belajar” mereka di Taiwan.

Keyakinan ini terpancar dalam ucapan Anwar selepas majlis berterawih di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur, pada malam Selasa 9 September 2008.

Proses melompat Ahli Parlimen BN untuk menganggotai PR dijangka bermula sehari dua lagi. Proses ini akan dimulakan oleh seorang Ahli Parlimen yang kini menyandang satu jawatan penting dalam BN. Tindakan ini dijangka diikuti oleh banyak lagi siri lompatan seterusnya.

Selanjutnya, apa yang sedang diheboh-hebohkan sebagai “lawatan sambil belajar” ke Taiwan adalah indah khabar dari rupa.

Rombongan Ahli Parlimen BN yang berada di negara berkenaan sejak dua hari lalu tidak mempunyai apa-apa jadual dan program sebagaimana dijangkakan.

Ahli-Ahli Parlimen wanita hanya menghabiskan masa dengan membeli-belah. Kebanyak ahli yang lelaki pula hanya berbuat apa sahaja yang mereka fikirkan perlu.

Saya mempunyai beberapa maklumat terkini mengenai kemungkinan yang akan berlaku. Tetapi, biarlah maklumat ini saya rahsiakan buat sementara waktu.

Apa pun, siri lompatan ini dijangka berakhir dengan satu klimeks yang lebih menggemparkan dan di luar jangkaan ramai kebelakangan ini.

Oleh itu, sama-samalah kita nantikan saat dan ketika itu dengan penuh sabar. –

29 pemimpin BN di NS sertai PKR

by Malaysiakini - Muda Mohd Noor

Seramai 29 pemimpin cawangan dan bahagian parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan ketua bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP), telah menyertai PKR Negeri Sembilan hari ini.

Seramai 19 pemimpin PPP di peringkat dewan undangan negeri (DUN) di Parlimen Teluk Kemang, yang diketuai oleh timbalan ketua bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy, menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dalam satu majlis di Seremban pagi tadi.

Turut menyertai PKR hari ini ialah tujuh pemimpin cawangan dan ahli jawatankuasa (AJK) MCA bahagian Seremban, Teluk Kemang, Jempol dan Kuala Pilah.

Selain mereka, tiga AJK cawangan Pemuda Umno di Rembau dan Kuala Pilah, turut berbuat demikian.

Setiausaha PKR Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassin berkata, parti itu mengalu-alukan kemasukan mereka bagi menguatkan kedudukan parti itu di negeri tersebut.

"Kita mengamalkan sikap tangan terbuka dan menggalakkan sesiapa sahaja untuk menyertai PKR.

"Kemasukan Karupusammy penting kerana kekuatan PPP Negeri Sembilan ialah di bahagian Teluk Kemang.

"Berikutan itu, kita menjangka sebahagian besar daripada 2,000 ahli PPP Teluk Kemang, akan menyertai PKR tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengakuan pemimpin berkenaan, lebih ramai ahli ketiga-tiga parti komponen BN itu akan menyertai PKR.

Sabaruddin berkata, kemasukan ahli Umno melalui bahagian PKR di Negeri Sembilan amat menggalakkan.

"Jumlahnya ramai sehingga membimbangkan pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.

Pilihanraya awal jika Pakatan ambil alih kuasa

by Malaysiakini

Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk mengadakan pilihanraya umum awal jika ia mengambil alih kuasa untuk mengikis kebimbangan ianya tidak demokratik dan tidak beretika.

Naib PresidenPKR, R Sivarasa memberitahu Malaysiakini bahawa pilihanraya baru akan diadakan dalam tempoh enam bulan hingga setahun selepas Pakatan menguasai Parlimen.

"Kita mahu memastikan pilihanraya yang adil dan bebas. Untuk melakukannya kita perlu memberi kebebasan kepada media, membersihkan senarai pemilih dan memperbetulkan Suruhanjaya Pilihanraya," kata Sivarasa yang juga ahli Parlimen Subang.

"Ini boleh mengambil masa antara enam bulan hingga setahun," tambahnya.

Pakatan yang dianggotai PKR, DAP dan PAS, mempunyai 81 daripada 222 kerusi Parlimen. Walaupun Barisan Nasional kini mempunyai kerusi majoriti, tetapi Pakatan yakin dapat mengubah keadaan itu.

Pakatan memerlukan 31 lagi ahli Parlimen menyertainya untuk mendapatkan majoriti mudah sebanyak 112 - sesuatu yang dilihat oleh pemerhati politik sebagai bukan mustahil untuk diperolehi.

Menurut mereka, apa yang diperlukan ialah 31 ahli Parlimen BN melompat menyertai Pakatan atau alternatifnya, jika 30 ahli Parlimen Barisan dan seorang ahli Parlimen bebas, memilih untuk bersama Anwar.

Penubuhan k'jaan baru mungkin terpaksa dilewatkan

by Malaysiakini

Tarikh sebenar penubuhan kerajaan baru mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September, sebagaimana rancangan awal, akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan, kata Pakatan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kepimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu hari ini yakin proses pembentukan kerajaan baru yang berlandasan agenda reformasi sedang berjalan lancar.

"Kami percaya kerajaan Barisan Nasional akan diganti dalam masa terdekat," katanya kenyataan Pakatan hari ini.

Menurutnya, Pakatan yakin mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mempunyai majoriti dalam Parlimen yang membolehkan penubuhan kerajaan baru.

"Bagaimanapun tarikh sebenar penubuhan kerajaan mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September sebagaimana rancangan awal akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan," katanya.

"Umum mengetahui negara kini masih dicengkam permasalahan politik, ekonomi dan sosial yang getir.

"Akibat kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno dan BN, timbul percubaan mengalih pandangan kepada isu perkauman sempit.

Kestabilan negara

"Masalah perkauman yang diapi-apikan berterusan sehingga kini menunjukkan formula BN yang dihantui kebejatan rasuah dan korupsi gagal mentadbir negara ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, api perkauman yang cuba dibakar akan mengancam kestabilan negara dan kebajikan rakyat.

"Kepimpinan BN yang semakin lemah juga menyaksikan parti tersebut semakin berpecah dan semakin hilang arah.

"Melihat kepada perkembangan semasa inilah, ramai Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan BN dan memutuskan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak perlu membeli atau menyogok Ahli Parlimen berkenaan untuk menyertai kami.

"Mereka didorong oleh kesedaran sendiri serta memberikan komitmen menyokong agenda perubahan," tambahnya.

'Rampas hak rakyat'

Kenyataan itu juga mendakwa terdapat segelintir elit pemerintah Barisan Nasional yang diketuai Umno, bercita-cita untuk mencipta huru hara agar dapat membantut perubahan, melumpuhkan demokrasi dan merampas hak-hak rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

"Kami khuatir seandainya masalah sengaja dibiar merebak dan berlarutan untuk memberikan alasan kepada pemerintah bertindak keras, termasuk penangkapan beramai-ramai menggunakan Undang-undang Darurat untuk membendung kemaraan rakyat yang menuntut pembelaan," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Pakatan menyeru kepada rakyat Malaysia, termasuk penyokong Umno untuk bertenang dan tidak terperangkap dengan retorik perkauman.

"Marilah kita rakyat Malaysia bersama-sama berusaha keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi kita yang semakin teruk dan menyambut perubahan yang akan memberi harapan baru kepada kita semua.

"Kami percaya apa pun jua usaha BN hanyalah dapat melambatkan proses pertukaran kerajaan tetapi tidak dapat menggagalkannya kerana formula BN telah gagal," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan Pakatan Rakyat: Peralihan Kuasa Tetap Akan Berlaku Kerana BN Telah Gagal

by Anwar Ibrahim

Kepimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu hari ini yakin proses pembentukan kerajaan baru yang berlandasan Agenda Reformasi sedang berjalan secara lancar. Kami percaya kerajaan Barisan Nasional akan diganti dalam masa terdekat.
Pakatan Rakyat yakin mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mempunyai majoriti dalam Parlimen yang membolehkan penubuhan kerajaan baru. Bagaimanapun tarikh sebenar penubuhan kerajaan mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September sebagaimana rancangan awal akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan.
Umum mengetahui negara kini masih dicengkam permasalahan politik, ekonomi dan sosial yang getir. Akibat kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan BN, timbul percubaan mengalih pandangan kepada isu perkauman sempit.
Masalah perkauman yang diapi-apikan berterusan sehingga kini menunjukkan formula BN yang dihantui kebejatan rasuah dan korupsi gagal mentadbir negara ini. Api perkauman yang cuba dibakar akan mengancam kestabilan negara dan kebajikan rakyat. Kepimpinan BN yang semakin lemah juga menyaksikan parti tersebut semakin berpecah dan semakin hilang arah.
Melihat kepada perkembangan semasa inilah ramai Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan BN dan memutuskan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak perlu membeli atau menyogok Ahli Parlimen berkenaan untuk menyertai kami. Mereka didorong oleh kesedaran sendiri serta memberikan komitmen menyokong agenda perubahan.
Kami yakin terdapat segelintir elit pemerintah BN yang diketuai UMNO bercita-cita untuk mencipta huru hara agar dapat membantut perubahan, melumpuhkan demokrasi dan merampas hak-hak rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Kami khuatir seandainya masalah sengaja dibiar merebak dan berlarutan untuk memberikan alasan kepada pemerintah bertindak keras termasuk penangkapan beramai-ramai menggunakan Undang-undang Darurat untuk membendung kemaraan rakyat yang menuntut pembelaan.
Kami menyeru kepada rakyat Malaysia termasuk penyokong UMNO untuk bertenang dan tidak terperangkap dengan retorik perkauman. Marilah kita rakyat Malaysia bersama-sama berusaha keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi kita yang semakin teruk dan menyambut perubahan yang akan memberi harapan baru kepada kita semua.
Kami percaya apa pun jua usaha BN hanyalah dapat melambatkan proses pertukaran kerajaan tetapi tidak dapat menggagalkannya kerana formula BN telah gagal.

Dato’ Salehuddin Hashim, Setiausaha Agung PKR

YB Loke Siew Fook, Pengarah Pendidikan Politik DAP

YB Dato’ Kamarudin Jaffar, Setiausaha Agung PAS