PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

13 June 2008

"Yang miskin, papa kedana..."




Oleh NORHAFIZAH ABD RANI - klpos.com

SEMUANYA mereka telah lakukan, berjimat cermat, mengikat perut, menukar gaya hidup, mengurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya. Namun, ia tidak membantu mengurangkan beban kewangan golongan ini.

Walaupun langkah berjimat-cermat dilakukan, tetapi bagi golongan yang berpendapatan rendah, ia masih tidak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka yang semakin terhimpit.

Akibat lonjakan harga barangan keperluan, hidup yang sudah sedia terhimpit sebelum ini semakin tertekan. Hakikat ini diakui sendiri oleh seorang penjaja makanan ringan, Saroja Supriamaniam, 42.

Bapa kepada lima anak yang ditemui di kawasan perumahan kos rendah, Flat Seri Selangor di Jalan San Peng, Kuala Lumpur mengakui begitu terhimpit dengan anak-anaknya yang masih bersekolah.

Suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berpendapatan kurang daripada RM500 sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan makan minum dan perbelanjaan harian mereka.

"Saya terpaksa memasak sayur-sayuran hampir setiap hari kerana tidak mampu untuk membeli ikan, ayam dan daging kerana harga yang naik mendadak," luahnya yang kesal dengan kenaikan harga barang keperluan.

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh hasil daripada menjaja tidaklah lumayan tetapi cukup-cukup makan untuk menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.

Jika dahulu sebelum berlaku peningkatan harga, Saroja mampu menghabiskan jualan makanan ringan di gerainya dalam tempoh seminggu tetapi kini berbeza.

"Ramai ibu bapa yang berjimat cermat dan tidak mahu anak mereka membeli makanan ringan lagi," katanya.

Saroja yang membuka perniagaan bermula pukul 11 pagi hingga pukul 10 malam setiap hari mengakui merasa tertekan dengan kenaikan harga barang itu. Akuinya, dia lebih sedih apabila melihat anak-anaknya juga terpaksa berkongsi kesusahan hidup yang ditanggung.

"Perbelanjaan sekolah anak terpaksa dikurangkan daripada RM2 kepada RM1 tetapi syukur anak-anak memahami walaupun mereka merungut.

"Saya tidak lalu makan memikirkan masalah ini. Walaupun susah, perut anak-anak perlu diisi," katanya yang mendapat keuntungan kurang RM10 sehari.

Seorang tukang sapu, Rashidah Rimin, 47, juga mengakui kenaikan harga barang cukup merunsingkannya.

Ibu kepada tiga anak ini turut berasa tertekan dan mungkin terpaksa memberhentikan persekolahan tadika anak bongsunya, Mohamad Nor Aswad Zainudin, 6. Semuanya gara-gara kos perbelanjaan sewa rumah sebanyak RM94 sebulan, bil air dan elektrik yang mungkin akan naik.

"Apa yang ada mereka makan sahaja walaupun berlaukkan telur setiap hari memandangkan harga beras yang semakin mahal. Ini menyebabkan saya terpaksa menyukat untuk memberi makan kepada anak-anak dan masak sehari sekali sahaja," luahnya yang tidak mampu membeli beras dalam kuantiti yang banyak dan memperuntukan tiga kilogram sahaja bagi seminggu.

PENJAJA turut dihimpit kegawatan ekonomi berikutan tiada pelanggan yang datang membeli.

Pendapatan Rashidah berdasarkan kerja hari. Rashidah yang juga menghadapi masalah kurang pendengaran memahami perbualan menerusi pergerakan bibir.

Ibu kepada tiga anak ini menjelaskan, dia terpaksa ke pasar yang lebih jauh dari rumahnya untuk mendapatkan kuantiti barang yang lebih walaupun berbelanja pada harga sama.

Katanya, mendiami di rumah pangsa menyukarkannya untuk bercucuk tanam. Namun, atas desakan hidup dia meminta jasa baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menanam serai di satu kawasan tanah yang terbiar.

Suaminya, Zainudin Yusof, 42, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Ampang mengehadkan perbelanjaan hariannya sebanyak RM6 sehari. Walaupun tidak cukup dia terpaksa juga lalui kerana tidak memiliki kenderaan dan perlu menaiki bas ke tempat kerja.

"Tambang pergi dan balik sahaja sudah mencecah RM4, baki dengan RM2 itulah perbelanjaan saya, saya membawa bekal setiap hari untuk berjimat," katanya yang menghidap sakit batuk kering.

Sebagai ketua keluarga, Zainudin amat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan ini.

Sementara itu, seorang pendandan rambut, Hen Son Wong, 35, mengakui kenaikan harga minyak dan barangan menyebabkan dia terpaksa menukar gaya hidup.

Jika sebelum ini dia ke tempat kerja dengan menaiki kereta tetapi selepas kenaikan harga minyak ini dia terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk berjimat.

Hen turut merasa kesal kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan meletakkan harga yang tinggi kepada pemilik kenderaan yang mahu memasang NGV (gas asli) pada kenderaan.

"Saya juga akan masak jika ada masa kerana masak sendiri lebih jimat berbanding makan di luar," katanya.

Kenaikan Harga Barang Di Malaysia


Cartoon by Mr Manithamilko - AJK KeADILan Cameron Highlands