PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

08 September 2008

32 Ahli Parlimen BN sudah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat?


by PAS Kawasan Parit Buntar

KUALA LUMPUR, 8 Sept : “(Seramai) 32…” Ini jawapan daripada Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar sebentar tadi apabila ditanya berapa ramai yang telah bersetuju menyertai Pakatan Rakyat.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin kanan Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu berlangsung hampir tiga jam. Dan, ini kali pertama angka tepat jumlah wakil rakyat BN yang didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat disahkan oleh beliau, khususnya selepas dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen 28 Ogos lalu.
“Kita telah membincangkan perkembangan yang berlaku… kami memfokus mengenainya (sasaran 16 September).
“Kami masih mengikut perancangan dan kami sedang fikir bagaimana hendak berhubung dengan mereka (ahli-ahli Parlimen yang petang ini berlepas ke luar negara)… kami telah berbincang dengan PAS dan DAP tadi,” kata beliau lagi.
Pertemuan itu diadakan selepas bertemu selama hampir tiga jam di ibu negara malam tadi.
Pertemuan hari ini bermula pukul 10 pagi tadi juga memfokus soal pembentukan kerajaan persekutuan.
Ketika hanya tinggal seminggu sahaja untuk membuktikan sama ada sasaran 16 September akan menjadi kenyataan ataupun sebaliknya, Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan informal malam tadi bagi membincangkan kemajuan siri perundingan yang telah diadakan setakat ini.
Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadikan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah mengumumkan pembentukan kerajaan persekutuan sejurus selepas pilihan raya umum Mac lalu.
Di Parlimen, BN mempunyai 140 anggota manakala Pakatan Rakyat pula 82 orang.

Kuburkan media 'gila', politik kejam - YB Husam Musa


by Husam Musa

Gunung Karakatao meletus, menukar muka bumi dalam banyak segi. Tahun 1883, peristiwa menakjubkan itu berlaku.
SPR memilih 26 Ogos 2008 untuk Anwar dinobatkan sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh pengundi Permatang Pauh, selepas sepuluh tahun pembunuhan karakter dilakukan ke atas beliau. Sama tarikh dengan letupan besar Karakatao.
Dalam kes Anwar, pembunuhan karekter, tidak semestinya mematikan karier seseorang, bahkan mungkin mengangkat-tinggikan lagi martabat dan penghormatan. Semalam dicaci, besok disanjungi.
Pujian tidak membawa leka, tidak pula longlai dengan caci maki dan fitnah. Itu prinsip pemimpin. Kental dan pejal.
Menghampiri tarikh 26 Ogos, serangan bertambah sengit. Tidak pernah media arus perdana 'segila' ini. Bersekali pemimpin utama UMNO/BN, mereka menggadaikan saki baki maruah diri mereka dalam satu kempen yang sungguh jejek dan hina. Ganas dan tak berperikemanusian.
Apa hasil? Kejayaan Anwar. Majoriti PKR meningkat. Undi BN menurun. Undi Melayu dan bukan Melayu juga lebih meningkat. Anwar mendapat 62% undi Melayu, naik 3% berbanding Mac lepas, dan 78% undi bukan Melayu, naik 1% - menjadikan keseluruhan undi Anwar 67%. Satu peratus lebih tinggi dari undi PM di Kepala Batas, Mac lepas (66%).
Rakyat lebih matang. Di mana media dan pemimpin seperti ini nak menyimpan malu?
Karakatao mengubah landskap dunia. Rakyat Malaysia menunggu perubahan landskap politik Malaysia selepas 26 Ogos.
Menunggu berakhirnya media ganas dan politik kotor tanpa batas - penantian yang lama. Media dan ahli politik bersendikan hukum, berpagarkan akhirat, bermatlamatkan ibadah, berpaksikan kebenaran dan keadilan, berhiaskan kejujuran. Bukan untuk Anwar. Untuk Malaysia tercinta. Untuk generasi Malaysia akan datang.

"Undur Abdullah undur" Tun Dr Mahathir


by klpos - Suhana A. Samat


MANTAN Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulangi gesaannya agar penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meletak jawatan.
Dalam kenyataan terbaru melalui laman blognya, www.chedet.com kelmarin, Dr Mahathir berkata ramai pemimpin Umno yang terlalu takut untuk bersuara menentang Datuk Seri Abdullah.
'Secara peribadi ramai yang nyatakan sokongan kepada saya dan mereka mahu Datuk Seri Abdullah meletak jawatan. Tetapi mereka tidak sanggup berkata secara terbuka.
'Itulah sebabnya saya mulakan blog saya ini. Lebih kurang enam juta pelawat telah melayari blog saya dan berpuluh ribu lagi yang meninggalkan komen dan menyokong saya,' katanya.
Namun, beliau menarik perhatian kebanyakan pengunjung lamannya tidak mahu tinggalkan nama dan lantas membuat sokongan itu tidak begitu berkesan.
'Saya tak boleh lakukan semuanya seorang diri. Saya perlukan sokongan. Saya tak boleh pergi kepada Datuk Seri Abdullah, tangkap dia dan buang dia,' tegas Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau perlukan sokongan, terutamanya daripada Umno.
'Tetapi Umno dan pimpinannya tidak boleh diharap. Mereka hanya berminat mengaut sesuatu untuk diri sendiri tetapi tak kira jika Umno dan negara ini hancur,' jelasnya.
Menyentuh tentang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu yang dimenangi penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata:
'Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang amat sedih. Tidak ada satu pun pemimpin yang berani. Saya sebolehnya tidak mahu katakan ini tetapi kemenangan PKR di Permatang Pauh mungkin menandakan berakhirnya hayat kesemua parti komponen BN dan juga BN.
'Inilah yang dilakukan Abdullah Ahmad Badawi. Sejarah akan rekodkan kegagalan Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konconya dan pemimpin-pemimpin terdahulu parti-parti ini dan juga ahli-ahli politik yang akan datang akan mengutuk kepimpinan BN ini selama-lamanya,' katanya. / BHS

MB Selangor yakin Pakatan 'on track' menuju 16 September

by klpos

MENTERI Besar Selangor merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap yakin Pakatan Rakyat mampu merealisasikan impiannya untuk membentuk kerajaan persekutuan pada 16 September ini.
Beliau turut percaya Pakatan kini berada pada 'track' yang betul seperti yang dirancang oleh penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khalid turut yakin akan ada ahli parlimen dari BN akan menyeberangi sempadan polititik dan melompat ke Pakatan bagi membentuk kerajaan.
Anwar yang sedang melakukan lawatan kerja di Indonesia masih yakin beliau akan berjaya membentuk kerajaan baru pada 16 September ini.
Ketika bercakap kepada wartawan di Jakarta, Indonesia, Anwar berkata, "respons awal daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan adalah positif."
"Hanya isu sekarang ialah mereka (kerajaan) hendak memaksa ahli-ahli Parlimen (BN) berkunjung ke China atau ke negara-negara lain sehingga selepas 16 September, jadi kami terpaksa menghadapi keadaan itu.
"Kemungkinan kami akan menemui mereka pada 17 hari bulan kerana mereka akan kembali pada 17 (September)," kata Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat yang berada di Jakarta untuk menghadiri seminar lapor akhbar Mstar.
Difahamkan Anwar akan kembali ke ibu negara hari ini.
Menurut Mstar lagi Anwar dipercayai ada menemui beberapa ahli Parlimen berhubung isu melompat parti di ibu negara Indonesia itu.
"Rancangan untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September, diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih aktif," kata Khalid di Klang.
Ketika ditanya sama ada sasaran 16 September menjadi realiti, Khalid yang juga Ketua PKR Selangor berkata, partinya tidak mahu mengatakan apa-apa buat masa sekarang.
"Kami tidak mahu buat spekulasi. Kami tidak membuat penilaian berdasarkan spekulasi," kata beliau ketika ditemui di dewan serbaguna Teluk Pulai. Klang.

49 MP BN ke Taiwan mulai 8 September 2008

by Malaysiakini

Sejumlah 49 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai lawatan sambil belajar ke Taiwan mulai hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 41 orang berlepas hari ini manakala lapan orang lagi, akan di sana esok.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBC), Datuk Bung Mokhtar Radin, yang akan berlepas bersama 41 ahli Parlimen tersebut pada jam 1.45 tengahari ini, mengesahkannya ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, jumlah tersebut terdiri daripada 10 ahli Parlimen dari Sabah, 12 dari Sarawak dan bakinya dari Semenanjung Malaysia.
Mereka dijangka mempelajari secara dekat program pertanian yang dilaksanakan di Taiwan.
Bagaimanapun, lawatan mereka selama lapan hari ke Taiwan, telah dipersoalkan, kerana mereka akan berada di sana sehingga 16 September - tarikh yang didakwa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyaksikan ahli-ahli Parlimen BN melompat menyertai Pakatan Rakyat.

Mahkamah batal kemenangan Kurup

by Malaysiakini


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Seri Joseph Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihanraya umum 8 Mac lalu, batal dan tidak sah.
Joseph Kurup adalah timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang membuka kemungkinan pilihanraya kecil diadakan di kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi oleh Kurup tanpa bertanding.
Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.
Beliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.
Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).
Pada hari penamaan calon, Andipai dan seorang lagi calon, Saimeh Usau, terlepas masa menyerahkan borang dan mahu menyerahkannya selepas masa itu tamat.
Kedua-duanya mendakwa bahawa perjalanan mereka ke pusat penamaan calon telah dihalang.
Mereka kemudiannya dibenarkan berbuat demikian - borang pencalonan Andipai diterima pada jam 10.25 pagi dan borang pencalonan Saimeh lima minit kemudian.
Bagaimanapun, sewaktu tempoh bantahan, Kurup membuat bantahan dan ianya diterima oleh pegawai pengurus pilihanraya. Beliau kemudiannya membatalkan pencalonan Andipai dan Saimeh.
Kurup kemudiannya dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah. Beliau juga merupakan bekas timbalan ketua menteri Sabah.