



Pertama, Adnan sendiri kena jujur dan mengaku bahawa beliau gagal memimpin negeri ini dari segi perekonomian. Jika seorang pengurus syarikat gagal menaikkan pendapatan majikannya selama 11 tahun apa tindakan yang diambilnya? Sudah tentulah meletakkan jawatan. Maka di atas keinsafan yang sama Adnan sewajarnya meletakkan jawatan sebagai menteri besar bagi memberi kesempatan kepada orang lain setelah beliau gagal. Lagi pun Adnan mesti sedar bahawa jawatan yang dipegang bukannya hasil warisan pusaka keluarga. Kedua, pemimpin tertinggi negara mesti melihat bahawa kegagalan Adnan bermakna kegagalan kerajaan BN keseluruhannya, sedangkan jawatan itu satu amanah. Maka kedudukan Adnan sebagai menteri besar mesti disingkirkan dan ditukar dengan muka baru. Jika kegagalan berpanjangan ini terus menerus dibiarkan ini bermakna suatu kezaliman dan pengkhianatan telah dilakukan kerajaan terhadap rakyat negeri ini.
Langkah Ketiga dan terakhir, jika kedua-dua pihak di atas tadi tidak mahu bertindak kendati pun telah jelas kegagalannya, maka rakyat sendiri mesti bertindak menukar kerajaan dalam pilihan raya akan datang. Apa gunanya lagi beliau dibiarkan di situ kerana kita yakin dan percaya, selama mana Adnan terus berkuasa maka selama itulah pencapaian ekonomi Pahang tidak akan meningkat. Rakyat telah memberi peluang Adnan selama 11 tahun, maka tempoh yang lebih lama lagi tidak wajar sama sekali diizinkan. Oleh kerana Adnan telah sinonim dengan kegagalan, maka menyingkirkan Adnan bermakna mengeluarkan Pahang dari alam kegelapan ke dunia baru!