PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

22 September 2008

Khalid Abd Samad: Elakkan Prejudis Terhadap Pakatan Rakyat (Siri II)

Oleh: Aqil Fithri (ummahonline.com)

Dewasa ini, banyak diperkatakan soal keretakan hubungan PAS dengan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Malah, ada tanda-tanda yang membenarkan pandangan tersebut.

Kegagalan pemimpin PAS tertinggi menyertai program-program utama PR, kenyataan pesimis para pemimpin PAS terhadap 16 September, syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh PAS pada PR, itu semua membayangkan perkara tersebut. Justeru itu, Ir. Hj. Khalid Abd Samad dalam wawancara Ummahonline.com ini cuba menjelaskan hakikat disebalek semua gambaran tersebut.

Kalau kita melihat, banyak program PR yang tidak dihadhiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi PAS, terutamanya melibatkan Ustadh Haji Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa. Malah, sidang akhbar Anwar Ibrahim hari ini (16 September 2008), serta program hari Malaysia di Kelana Jaya semalam turut tidak dihadhiri oleh para pemimpin PAS tersebut. Apakah benar ada persepsi perpecahan besar di dalam PAS tentang PR?

Saya fikir persepsi itu tidak benar. Ini kerana masalah kami dalam PAS, bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan program. Sedangkan program-program PR yang dibuat baru-baru ini itu semuanya ditentukan pada saat-saat terakhir. Manakala pimpinan-pimpinan kami pula bukan semuanya berada di Kuala Lumpur. Jadi, apabila PR putuskan mahu membuat program Hari Malaysia malam tadi, keputusan untuk membuat program tersebut hanya hari sebelumnya. Jadi, bila disemak, maka jadual aktiviti Ustadh Hadi sudah penuh. Jadi ini merupakan keadaan yang biasa. Maka, bila program-program PR dilakukan di lakukan di Kuala Lumpur dan sekitarnya, maka pimpinan sekitar inilah yang selalu turun.


Kita lihat sudah beberapa kali Ustadh Hadi menekankan soal “Ketuanan Islam”, sementara dalam waktu yang sama pula Anwar Ibrahim menekankan soal “Ketuanan Rakyat”. Di sini jelas sekali, terdapat dua gagasan yang berbeza. Satu kembali pada agama, yang kedua kembali kepada rakyat. Apakah ini menunjukkan perbezaan yang ketara antara PAS pimpinan Ustadh Hadi dengan Anwar sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat?

Konsep Ketuanan Islam memang dasar perjuangan PAS. Tetapi sekarang ini memang kita tidak mampu untuk melaksanakannya, sama ada kita berkerjasama dengan PR ataupun kita seorang diri.

Malah, kalau kita kerjasama dengan Umno sekalipun, kita tentu tidak boleh melaksanakannya. Tapi, persoalannya ialah, bila kita berkerjasama dengan PR, adakah langkah tersebut memberikan kepada kita peluang untuk berkerja dengan lebih luas supaya konsep ini dapat diterima oleh masyarakat? Kalau kita fikir boleh, maka elok kita teruskan.

Jadi, perkiraan kita sekarang ini ialah, di antara BN dan PR, mana yang boleh memungkinkan kita bergerak?


Apakah PAS memang maseh menekankan lagi gagasan Ketuanan Islam?

Sebenarnya, gagasan Ketuanan Islam itu adalah kontra kepada gagasan Ketuanan Melayu yang dibawa oleh Umno. Tapi konsepnya kita mahu laksanakan Islam sebagai cara hidup, kerana itulah yang akan menyelamatkan masyarakat.


Tapi apa yang kita lihat, Ustadh Hadi juga menyebutkan beberapa kali bahawa jumlah ahli parlimen dalam kerajan PR nanti mestilah muslim melebihi daripada bukan-muslim. Ini juga tentunya menunjukkan adanya dialektik agama dalam pemikiran Ustadh Hadi. Jadi, tidakkah nampak sangat Islam seperti ini lebih menekankan kepada penganut, bukan kepada nilai-nilainya?

Itu adalah apa yang diputuskan oleh mesyuarat. Kalau saya tak berfikir begitu pun (dialektik agama), maka saya maseh kena terimalah. Pandangan rasmi PAS adalah begitu. Bagi saya, sebenarnya itu tidak begitu penting. Ini kerana, mithalnya Nabi di Madinah pun bukannya majoriti, tetapi oleh kerana hujah yang kukuh dan sebagainya, maka ianya tidak pernah merupakan satu halangan.


Maknanya, pimpinan utama PAS cenderung melihat “bentuk” itu lebih penting dari “isi”?

Tidaklah begitu. Tapi, bagi mereka yang menganggap bahawa dalam keadaan sekarang ini, soal orang Islam mesti menguasai majoriti adalah penting. Ini penting untuk menjamin supaya tidak adanya kemungkinan kedudukan Islam dapat diterbalikkan ataupun ditukar oleh parti-parti yang lain dalam PR. Jadi, untuk menghalang perkara tersebut, majoriti muslim mesti ada. Tapi bagi saya, sebenarnya soal tersebut sudah termaktub dalam perlembagaan, maka ianya tidaklah begitu kritikal. Namun, mereka tidak bersetuju dengan pandangan saya, maka saya menerimalah keputusan sepertimana yang telah diputuskan.


Itu keputusan majlis syura ulama’, atau keputusan mesyuarat AJK PAS Pusat, ataupun keputusan Lujnah Politik PAS?

Itu keputusan yang lebih kepada AJK PAS Pusat.


Adakah 100% ahli Parlimen PAS akan menyokong penubuhan kerajaan PR nanti? Sebab ada ura-ura ada juga di kalangan ahli parlimen PAS yang tidak selesa dengan PR?

Saya rasa akhirnya mereka akan akur dengan apa yang diputuskan oleh majoriti, dan keputusan pimpinan. Bagi saya, kita mesti sentiasa konsisten dengan sikap kita, terutamanya dalam soal janji yang kita nyatakan pada rakan-rakan kita dalam PR. Saya khuatir, sekiranya kita pada saat terakhir menjadi pihak yang mengagalkan PR, maka implikasi politik jangka masa panjang agak teruklah. Jika itu berlaku, saya rasa selepas itu kita tidak boleh lagi mengharapkan sokongan dari orang bukan Islam. Itu ada asasnya. Ini kerana mereka telah memberikan sokongan atas mandat yang jelas bahawa mereka mahukan perubahan, dan mereka mahukan PR, dan memberikan peluang kepada kita untuk mentaabir negara.

Sekiranya kita melanggar dan mengkhianati amanah ini, maka kesimpulannya kita akan menjadi parti politik yang tersingkir dan dipinggirkan terus dari arus perdana politik. Maka, saya rasa itu tindakan yang tidak bijak.

Saya tidak faham mengapa perlu ada sikap dan tindakan yang tidak mahu pada PR. Kekhuatiran-kekhuatiran yang ditimbulkan seperti ini telahpun kita tangani, tetapi jika maseh ada prejudis yang sebegitu, maka ianya merupakan prejudis yang tidak selari dengan kehendak muktamar PAS yang dicapai baru-baru ini. Maka, saya khuatir kalau mereka, ataupun ada pihak yang bertindak sebegitu sehingga gagal segala usaha kita ini. Jadi, kerana ini mungkin kita akan terpaksa membayar harga politik yang mahal.


Mengapa mereka boleh sampai terfikir untuk meninggalkan PR? Adakah wujudnya campur-tangan Umno dalam soal ini?

Saya rasa tidak. Tapi ia hanya merupakan suatu keadaan yang baru, di mana mereka mungkin tidak selesa dengan keadaan yang demikian, terutamanya ramainya orang bukan Islam, dan kemudian terpaksa berkongsi kuasa pula dengan orang yang bukan Islam tersebut, dan sebagainya. Ini merupakan suatu keadaan yang baru bagi PAS, kerana selama ini semua kerjasama-kerjasama yang dilakukan adalah kerjasama-kerjasama kita sebagai pembangkang. Tetapi bila kita kena kongsi kuasa bersama dengan orang-orang bukan Islam, maka mereka tidak nampak bagaimana ini boleh menghasilkan keuntungan bagi perjuangan Islam. Saya rasa mentaliti Melayu-Islam itu telah terukir begitu lama di dalam pemikiran orang-orang Melayu di Malaysia ini, termasuklah sebahagiannya daripada orang-orang PAS.

Tapi kini bukan suasana dan keadaan yang terfikir oleh mereka, walaupun banyak kali disebut bahawa perjuangan Islam tidak semestinya majoriti, tapi boleh saja menguasai seperti yang berlaku di kota Madinah dan sebagainya. Tapi bila praktis, bila mereka benar-benar menghadapi keadaan ini, mereka tidak mampu berfikir diluar dari kerangka pemikiran yang lama.