PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

08 September 2008

Kuburkan media 'gila', politik kejam - YB Husam Musa


by Husam Musa

Gunung Karakatao meletus, menukar muka bumi dalam banyak segi. Tahun 1883, peristiwa menakjubkan itu berlaku.
SPR memilih 26 Ogos 2008 untuk Anwar dinobatkan sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh pengundi Permatang Pauh, selepas sepuluh tahun pembunuhan karakter dilakukan ke atas beliau. Sama tarikh dengan letupan besar Karakatao.
Dalam kes Anwar, pembunuhan karekter, tidak semestinya mematikan karier seseorang, bahkan mungkin mengangkat-tinggikan lagi martabat dan penghormatan. Semalam dicaci, besok disanjungi.
Pujian tidak membawa leka, tidak pula longlai dengan caci maki dan fitnah. Itu prinsip pemimpin. Kental dan pejal.
Menghampiri tarikh 26 Ogos, serangan bertambah sengit. Tidak pernah media arus perdana 'segila' ini. Bersekali pemimpin utama UMNO/BN, mereka menggadaikan saki baki maruah diri mereka dalam satu kempen yang sungguh jejek dan hina. Ganas dan tak berperikemanusian.
Apa hasil? Kejayaan Anwar. Majoriti PKR meningkat. Undi BN menurun. Undi Melayu dan bukan Melayu juga lebih meningkat. Anwar mendapat 62% undi Melayu, naik 3% berbanding Mac lepas, dan 78% undi bukan Melayu, naik 1% - menjadikan keseluruhan undi Anwar 67%. Satu peratus lebih tinggi dari undi PM di Kepala Batas, Mac lepas (66%).
Rakyat lebih matang. Di mana media dan pemimpin seperti ini nak menyimpan malu?
Karakatao mengubah landskap dunia. Rakyat Malaysia menunggu perubahan landskap politik Malaysia selepas 26 Ogos.
Menunggu berakhirnya media ganas dan politik kotor tanpa batas - penantian yang lama. Media dan ahli politik bersendikan hukum, berpagarkan akhirat, bermatlamatkan ibadah, berpaksikan kebenaran dan keadilan, berhiaskan kejujuran. Bukan untuk Anwar. Untuk Malaysia tercinta. Untuk generasi Malaysia akan datang.

No comments: