08 September 2008
"Undur Abdullah undur" Tun Dr Mahathir
by klpos - Suhana A. Samat
MANTAN Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulangi gesaannya agar penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meletak jawatan.
Dalam kenyataan terbaru melalui laman blognya, www.chedet.com kelmarin, Dr Mahathir berkata ramai pemimpin Umno yang terlalu takut untuk bersuara menentang Datuk Seri Abdullah.
'Secara peribadi ramai yang nyatakan sokongan kepada saya dan mereka mahu Datuk Seri Abdullah meletak jawatan. Tetapi mereka tidak sanggup berkata secara terbuka.
'Itulah sebabnya saya mulakan blog saya ini. Lebih kurang enam juta pelawat telah melayari blog saya dan berpuluh ribu lagi yang meninggalkan komen dan menyokong saya,' katanya.
Namun, beliau menarik perhatian kebanyakan pengunjung lamannya tidak mahu tinggalkan nama dan lantas membuat sokongan itu tidak begitu berkesan.
'Saya tak boleh lakukan semuanya seorang diri. Saya perlukan sokongan. Saya tak boleh pergi kepada Datuk Seri Abdullah, tangkap dia dan buang dia,' tegas Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata beliau perlukan sokongan, terutamanya daripada Umno.
'Tetapi Umno dan pimpinannya tidak boleh diharap. Mereka hanya berminat mengaut sesuatu untuk diri sendiri tetapi tak kira jika Umno dan negara ini hancur,' jelasnya.
Menyentuh tentang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu yang dimenangi penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata:
'Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang amat sedih. Tidak ada satu pun pemimpin yang berani. Saya sebolehnya tidak mahu katakan ini tetapi kemenangan PKR di Permatang Pauh mungkin menandakan berakhirnya hayat kesemua parti komponen BN dan juga BN.
'Inilah yang dilakukan Abdullah Ahmad Badawi. Sejarah akan rekodkan kegagalan Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konconya dan pemimpin-pemimpin terdahulu parti-parti ini dan juga ahli-ahli politik yang akan datang akan mengutuk kepimpinan BN ini selama-lamanya,' katanya. / BHS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment