PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

07 November 2008

ISA tidak berbisa pertahan ketuanan Umno


Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang mengisytiharkan bahawa penahanan Raja Petra di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak lagi berbisa mempertahankan ketuanan Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan premis keselamatan negara, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengucapkan tahniah kepada Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang dibebaskan dari cengkaman keganasan ISA hari ini.

Husam juga mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang mengisytiharkan bahawa penahanan Raja Petra di bawah ISA adalah tidak sah dan memerintahkan supaya beliau dibebaskan segera.

“Negara, insya Allah, sedang bergerak menuju fitrah (iaitu) menjunjung keadilan,” tegas Husam.

Dalam penghakimannya, Syed Ahmad Helmy berkata alasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menahan Raja Petra di bawah Seksyen 8(1) ISA adalah tidak termasuk dalam kes ini.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun.

Barisan peguam yang mewakili Raja Petra ialah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.

Manakala peguam pihak pendawaan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad

Ketika ini, mStar Online melaporkan keluarga Raja Petra masih menunggu di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuki menunggu Raja Petra yang dijangka tiba pukul 3 petang dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping.

Raja Petra, 58, ditahan pada 12 September lalu dan pada hari yang sama juga ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut ditahan dibawah akta tersebut.

Bagaimanapun Teresa dan Tan sudah dibebaskan.

No comments: