Kuala Lumpur, 10 Julai - Pakatan Rakyat telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi serta jemaah menterinya.
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Permatang Pauh) telah memfailkan usul tersebut di pejabat Speaker Dewan Rakyat pada jam 3.45 petang.
Sekiranya usul tersebut diterima, ia mungkin dibincangkan pada hari Isnin apabila sesi Parlimen bersambung selepas cuti hujung minggu. Parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, usul tersebut mungkin ditolak oleh Speaker yang mempunyai kuasa untuk berdemikian atas alasan ianya bukan perkara yang perlu disegerakan.
Tambahan pula, hanya satu jam perbahasan dibenarkan untuk usul seumpama itu dan juga tiada pengundian.
Pihak pembangkang mungkin mempunyai pilihan untuk mengemukakan usul tersebut mengikut Peraturan Tetap 27, yang memerlukan notis 14 hari.
Bulan lalu, Parti Progreseif Sabah (SAPP) mengejutkan negara apabila berkata ia akan menyokong usul tidak percaya terhadap Abdullah.
Berikut adalah Usul yang telah dikemukakan oleh Pakatan Rakyat:
“Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan."
Pilihanraya Umum ke-12 menyaksikan 'Tsunami Politik' yang mengakibatkan 5 negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sekaligus menafikan penguasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional.
Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah. Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas PRU walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikkannya. Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme. Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung-jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara.
Perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap YAB Perdana Menteri dan kabinet beliau. Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi Polis, Peguam Negara dan Badan Kehakiman, Peningkatan kadar jenayah dan gejala Rasuah yang semakin membarah.
Kami yakin Dewan yang mulia ini wajar membincangkan Usul yang dikemukakan ini.”
YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
11 July 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment