by; http://test.chedet.com/che_det/2008/09/why-dont-i-do-something.html#more
KENAPA SAYA TAK BUAT APA-APA
1. Kesemua empat komputer di rumah saya tiba-tiba terputus hubungan internet. Saya terfikir adakah semua orang mengalami masalah yang sama?
2. Saya tak boleh akses blog walaupun sebelah pagi boleh. Saya sempat baca sesetengah komen oleh pembaca.
3. Saya nak menjawab, tapi hanya sekadar apa yang saya boleh ingat.
4. Satu komen bertanyakan kepada saya apakah yang saya lakukan berkenaan keadaan semasa dan kritikan-kritikan saya terhadapnya? Komen tersebut juga ada mencadangkan apa yang patut saya lakukan.
5. Saya selalu disuruh "buat sesuatu". Saya dah lakukan yang termampu:
i) Saya telah secara terbuka salahkan Dato Seri Abdullah dan meminta dia meletak jawatan
ii) Saya kritik keputusannya berkenaan dengan jambatan (bengkok ke Singapura)
iii) Saya secara terbuka menuduh beliau terlibat dengan rasuah
iv) Saya telah tegur pemimpin dan ahli UMNO bahawa mereka akan menghancurkan UMNO dan sekutunya
v) Saya keluar dari UMNO
vi) Saya telah bercakap berkenaan rasuah dan kesannya terhadap nasib yang menanti orang Melayu
vii) Saya telah mulakan blog saya dan pembaca pun tahu apa yang saya telah katakan dalam blog
6. Untuk semua ini, apa yang saya dapat daripada pemimpin UMNO adalah saya telah dimaki dan dicerca. Semua orang tahu apa yang Nazri Aziz kata kepada saya.
7. Tidak ada satu pun pemimpin UMNO yang tunjuk apa-apa kesungguhan untuk bertindak terhadap Dato Seri Abdullah. Hinggakan apabila dia melakukan rasuah secara terbuka pun, kecuali seorang ketua bahagian, yang lain tidakpun berkata apa-apa. Pemilihan semula Nazri Aiziz di dalam pilihanraya umum yang lepas menunjuk yang majoriti ahli UMNO dan pengundi di kawasannya menyokong tindakan beliau menghina saya.
8. Apabila saya dijemput berucap, tidak ada pemimpin atau ahli UMNO yang hadir. Kecuali seorang pemimpin di Perak, tidak ada satupun yang menyokong saya.
9. Anak saya Mukhriz tidak keluar UMNO. Ini kerana tiada pemimpin mahupun Ahli Parlimen lain yang tinggalkan UMNO. Tidak berada di dalam UMNO bermakna beliau tidak boleh bertindak untuk menyelamatkan UMNO. Dia secara terbuka meminta Dato Seri Abdullah meletak jawatan selepas Pilihanraya Umum 2008 dan selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh.
10. Anak saya Mokhzani keluar parti. Tetapi siapa lagi? Sebaliknya mereka-mereka yang kononnya menentang Dato Seri Abdullah, seperti Ketua Bahagian Cheras, sekarang ini menyatakan sokongan mereka terhadapnya.
11. Secara peribadi ramai yang nyatakan sokongan kepada saya dan mereka mahu Dato Seri Abdullah meletak jawatan. Tetapi mereka tidak sanggup berkata secara terbuka.
12. Itulah sebabnya saya mulakan blog saya ini. Lebih kurang enam juta pelawat telah melayari blog saya dan berpuluh ribu lagi yang meninggalkan komen dan menyokong saya.
13. Tetapi kebanyakannya nampak risau dan tidak mahu tinggalkan nama mereka. Biasanya mereka guna nama samaran. Jadi sokongan tidak begitu berkesan.
14. Saya tak boleh lakukan semuanya seorang diri. Saya perlukan sokongan. Saya tak boleh pergi kepada Dato Seri Abdullah, tangkap dia dan buang dia.
15. Apa yang mungkin saya buat akan perlukan sokongan terutamanya daripada UMNO. Tetapi UMNO dan pimpinannya tidak boleh diharap. Mereka hanya berminat mengaut sesuatu untuk diri sendiri tetapi tak kira jika UMNO dan negara ini hancur.
16. Apa yang ahli UMNO dan penyokong Barisan Nasional lain yang tidak puas hati dapat lakukan, dan yang telahpun mereka buat, ialah undi pembangkang untuk tunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap parti dan Kerajaan.
17. Tetapi pembangkang juga akan menghancurkan negara ini jika mereka menang dan tubuhkan Kerajaan.
18. Rakyat sebenarnya mendapat Kerajaan yang padan bagi mereka, baik atau buruk. Jila mereka dapat Kerajaan yang buruk, ini adalah oleh kerana mereka tidak sanggup bertindak untuk perbetulkan keadaan, tidak sanggup ambil risiko untuk mengalih kepimpinan Kerajaan kepada yang baik.
19. Dato' Seri Abdullah sudah hancurkan UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan BN. Gerakan bercakap tentang meninggalkan BN. MCA agak senyap tetapi pimpinannya yang sebelum ini menyokong Abdullah walau apa pun terjadi, kini sudah undur daripada menjadi pemimpin.
20. Ahli kanan MCA, Gerakan dan MIC telah sertai pembangkang.
21. Di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, ahli UMNO dan BN tidak berani pakai baju dengan logo UMNO atau BN. Mereka tidak berani letak pelekat atau bendera parti di kereta mereka. Rapat umum mereka diceroboh ahli PKR yang memakai logo parti dan ahli BN dan UMNO duduk senyap seperti tikus bila belia PKR menjerit "bohong" semasa Dato Seri Najib berucap.
22. BN berada dalam keadaan yang amat sedih. Tidak ada satu pun pemimpin yang berani. Saya sebolehnya tidak mahu katakan ini, tetapi kemenangan PKR di Permatang Pauh mungkin menandakan berakhirnya hayat kesemua parti komponen BN dan juga BN.
23. Inilah yang dilakukan Abdullah Ahmad Badawi.
24. Sejarah akan rekodkan kegagalan Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konconya dan pemimpin-pemimpin terdahulu parti-parti ini dan juga ahli-ahli politik yang akan datang akan mengutuk kepimpinan BN ini selama-lamanya.
Showing posts with label Permatang pauh. Show all posts
Showing posts with label Permatang pauh. Show all posts
11 August 2008
'Tugas negara' pengundi Permatang Pauh

by Malaysiakini: Athi Veeranggan
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi di Permatang Pauh bahawa mereka mempunyai 'tugas negara' kepada keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia,
Sehubungan itu, katanya, pilihanraya kecil Parmatang Pauh adalah bukan mengenai dirinya, tetapi ianya adalah mengenai urustadbir yang baik, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil.
Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat memerlukan kemenangan yang besar untuk mencetuskan perubahan politik di negara ini.
Anwar kemudiannya melancarkan jentera pilihanraya kecil Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.
Sementara, Shamsul berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pemilik kilang dan syarikat di Pulau Pinang dan Kedah selatan, untuk mengingatkan mereka supaya membenarkan para pekerja keluar pengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Katanya, ini kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja dan oleh itu, pekerja perlu diberi masa untuk menunai tanggungjawab mereka untuk mengundi.
Labels:
Anwar Ibrahim,
KeADILan,
Permatang pauh,
Piliharaya Malaysia
02 August 2008
Najib: BN sukar gugat Anwar

by Jimadie Shah Othman Malaysiakini
Datuk Seri Najib Razak mengakui BN sukar menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PKR di kerusi parlimen tersebut.
"Kita kena realistik, ia adalah kawasan yang sukar. Kita akan berusaha sebaiknya," kata timbalan perdana menteri hari ini.
Mengulas lanjut keputusan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya semalam sebagai anggota parlimen di kawasan itu, Najib berkata Anwar mempertaruhkan "masalah peribadinya" kepada orang ramai.
"Sebenarnya, tuduhan dibuat oleh pegawai khas beliau sendiri, bukan oleh kerajaan. Dan ada cara-cara untuk menyelesaikan tanpa membawa perkara ini kepada rakyat.
"Tetapi dia tidak pilih cara-cara tersebut. Beliau pilih untuk bawa perkara ini kepada rakyat, khususnya pada pengundi di Permatang Pauh. Tetapi kita terima perkara ini. Kita akan hadapi," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program khusus ke Universiti al-Azhar di Kuala Lumpur.
Pembantu penasihat PKR itu Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa diliwat dalam satu laporan polis 28 Jun lalu.
Kertas siasatan polis kini sudah disiapkan dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara sebelum memutuskan sama ada wujud kes prima facie untuk mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu.
Desas-desus Anwar ditahan dan kemudian dibawa ke mahkamah semakin hangat diperkatakan.
Najib menambah, BN bagaimanapun tidak gentar menghadapi pilihanraya kecil itu kerana kerajaan pimpinan parti itu masih menguasai parlimen.
"Kerajaan tidak takut. Kita ada majoriti yang cukup (dalam parlimen). Tetapi Anwar memutuskan membawa kepada rakyat," katanya.
Mengulas kemungkinan BN meletakkan bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Nor sebagai calon untuk merampas kerusi itu, Najib berkara pemilihan calon masih belum dibincangkan.
"Kita tidak bincang soal calon lagi. Soal calon kita kena ikut proses (melibatkan) perbincangan di peringkat perhubungan (negeri) dan bahagian. Akhirnya pucuk pimpinan akan buat keputusan yang sewajarnya," katanya.
Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.
Najib bagaimanapun enggan menjelas bila BN akan berbincang untuk menetapkan calon terbaik untuk menghadapi tokoh utama pembangkang itu.
"Ia proses. Kita tidak perlu bagi tahu bila (akan) dibincang. Yang penting, perbincangan dibuat," katanya.
Mengulas sama ada karier politik Anwar akan tamat jika tidak dapat mempertahankan kubu kuatnya itu, Najib berkata:
"Kita tidak tahu. Beliau sudah buat kira-kira. Beliau rasa itu peluang terbaiknya. Kita letakkan pada rakyat untuk memutuskannya."
Anwar semalam mengumumkan bertanding di kerusi parlimen itu yang telah dikosongkan oleh isterinya pada sebelah pagi.
Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.
Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal apabila Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Sementara itu perdana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, BN akan cuba merampas kembali kerusi parlimen itu.
BN tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Anwar, katanya lagi selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Al-Mutadee Billah di Putrajaya hari ini.
P'raya Ptg Pauh ditentu 6 Ogos

by Malaysiakini
Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang bakal disertai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditentukan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Rabu depan.
Setiausaha suruhanjaya itu Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata SPR telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota parlimen kawasan itu hari ini daripada yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Menurut laporan Bernama, Kamaruzaman berkata bahawa mesyuarat itu nanti akan turut menetapkan tarikh mengeluarkan writ pilihanraya, tarikh mengeluarkan notis pilihanraya dan daftar pemilih yang akan diguna pakai pada pilihanraya kecil tersebut.
Dr Wan Azizah, presiden PKR, meletakkan jawatan sebagai membuka laluan kepada suaminya, yang juga penasihat parti.
Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.
Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada pilihanraya umum 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Mac lepas, beliau memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,388.
Subscribe to:
Posts (Atom)