PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

04 June 2008

KeADILan Pahang hantar memorandum bantahan kepada SPR


• SUARA KEADILAN
KeADILan negeri Pahang menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membantah tindakan suruhanjaya itu membatalkan penggunaan dakwat kekal di pejabat SPR negeri 5 Mac lalu.

Penyerahan memorandum itu diketuai calon Parlimen Kuantan Fuziah Salleh bersama-sama 100 ahli KeADILan termasuk calon Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail, calon Semambu Nancy Kong dan calon Teruntum Siew Fook Chan.

Memorandum diserahkan kepada Penolong Pegawai Pilihanraya Negeri, Zain Mokhsar Ahmad.

Fuziah dalam kenyataan beliau berkata tujuan utama penyerahan memorandum itu adalah untuk menuntut penjelasan dari SPR berhbung beberapa perkara yang meragukan selepas semakan dibuat dalam senarai daftar pemilih terbaru.

“Antara kekeliruan yang kami kesan ialah pertindihan nama dan nombor kad pengenalan yang tercatat dalam senarai daftar pemilih untuk undi pos dan proses undi biasa,” katanya.

Selain itu, tambah Fuziah lagi, proses pembuangan undi pos diadakan tanpa mengikut prosedur wajib seperti yang digariskan dalam Prosedur 9 SPR.

“Paling mengejutkan kami, proses undi pos di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelam semalam diawalkan daripada jadual asal tanpa pengawasan daripada Pegawai Pengurus atau Pemerhati Pilihanraya. Manakala, undi pos di Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing pula tiada senarai pemilih berdaftar dibekalkan kepada kami untuk tujuan rujukan,” katanya.

Mengulas isu yang sama, calon KeADILan Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail meminta SPR menjalankan tugas dengan lebih telus bagi mengelakkan krisis kepercayaan di kalangan rakyat sehingga membuatkan mereka tidak lagi berminat untuk keluar membuang undi.

“Ini penting. Sebagai sebuah suruhanjaya yang dipertanggungjawab dalam menentukan proses demokrasi berjalan lancar tanpa perkara-perkara berbangkit seperti ini, SPR sepatutnya peka dalam menjalankan tugas mereka. Bukannya hanya bertindak selepas menerima permintaan atau memorandum daripada kami,” katanya.

Selepas penyerahan memorandum itu, Zain Mokhsar berkata berkata beliau akan membawa isu ini ke pemerhatian pihak atasan untuk diteliti dan satu kenyataan rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

No comments: