PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

04 June 2008

Kisah Nurul Izzah, Bicara Hati Anwar Ibrahim



By Anwar Ibrahim

Mengatur temu janji dengan lelaki yang dikagumi ramai ini bukanlah sesuatu yang mudah. Memahami jadualnya yang ketat, kami sekadar mencuba. Meletakkan sedikit harapan untuk dikongsi ceritanya bersama pembaca NONA. Awal-awal lagi, kami sudah ketepikan cerita tentang politik. Bukan itu yang kami inginkan. Cukuplah apa yang dipaparkan di dada-dada akhbar, televisyen dan halaman blog.

Kami sememangnya mahu keluar dari belenggu kisah begitu. Kami mahu mendekati cerita hatinya tentang anak-anak dan keluarga. Tentang puteri sulungnya yang berwajah lembut itu. Ya, sememangnya bukan mudah untuk mencari ruang dan waktu untuk kedua-duanya; Datuk Seri Anwar dan Nurul Izzah untuk ditemu bual serentak.

Kala persetujuan diberi, kami benar-benar gembira. Biarpun masa diberikan cuma seketika ia sesungguhnya penuh makna buat Majalah Nona sempena Edisi Khas Lelaki. Lalu kami meminta ingin merakamkan gambarnya dalam pakaian moden. Sut dan tali leher. Sekadar meminta dan tidak mengharapkan lebih kerana sudah dimaklumkan awal-awal tentang jadualnya pada hari itu apa lagi hari itu hari Jumaat.

Begitu juga dengan Nurul Izzah. Kami juga dimaklumkan tentang jadualnya selepas itu. Punya acara rasmi di Bangsar. Kesibukan yang mencengkam, ditambah ketiadaan privasi lantaran didampingi pembantu setiap hari, apakah mereka punya masa untuk diri dan keluarga? Pagi itu juga ramai tetamu menanti giliran untuk bertemu mereka.

Apa pun kami berbesar hati apabila Izzah memberitahu betapa kami bertuah kerana papanya mahu ditemu ramah bersama. “Bukan mudah memujuk papa,” ujarnya sambil tersenyum. Ya kami berterima kasih kerana masa yang diluangkan. Dan Izzah juga memberitahu setiap hari Jumaat, Datuk Seri Anwar akan mengenakan baju Melayu.

“Cubalah tanya, kalau-kalau papa mahu,” beritahunya lagi tidak mahu menghampakan kami. Ya benarlah kata Izzah. Dia lebih memahami papanya. Apabila Datuk Seri Anwar menolak, kami sudah bersedia menerimanya.

Sambil menunggu Datuk Seri Anwar bertemu tetamunya, kami berbual dahulu bersama Nurul Izzah. Sebagai anak sulung dalam keluarga, Izzah akui tugas dan tanggungjawab yang digalas oleh beliau sungguh mencabar. Dugaan paling hebat diterimanya sewaktu bapa di penjara. Kejadian malam 2 September menjadi lipatan sejarah buat beliau sekeluarga.

“Saat itu papa hanya sempat berpesan agar menjaga ibu dan adik-adik dan sentiasa menjaga hubungan yang erat dalam keluarga. Kata-kata papa menjadi pegangan saya. Ia sentiasa tersemat di hati dan menjadi pendorong semangat untuk saya dan keluarga meneruskan kehidupan, biarpun jauh di sudut hati berbuku rasa sedih dan rindu pada papa, namun saya perlu kuat. Kekuatan saya akan menjadi kekuatan buat kami sekeluarga,” akui Izzah dengan nada sayu.

Ikuti paparan istimewa ini sempena Edisi Khas Lelaki di dalam NONA keluaran Jun 2008.

No comments: