PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

26 November 2008

MB Pertahan Fakta, Bajet Defisit Tidak Akan Jejas Pentadbiran Kerajaan Negeri !!

by PahangDaily

KUANTAN - Pihak yang mempertikaikan Bajet Negeri 2009 yang merupakan bajet defisit, diingatkan agar tidak risau kerana bajet itu tidak akan menjejaskan Kerajaan dalam usahanya untuk terus membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat jelata. Ketika menyatakan ini dalam ucapan penggulungan bagi perbahasan Bajet Negeri 2009 pada pagi dan disambung semula sebelah petang hari Jumaat, 21 November lepas di sini, Menteri BesarDato’ Seri Adnan berkata : “Janganlah risau dengan bajet kita yang defisit. Kalau ikut pakar-pakar ekonomi, boleh tanggung defisit kalau ianya di bawah lima (5) peratus daripada KDNK dan juga kalau tidak melebihi lima tahun berturut-turut. “(Tetapi) ini sebenarnya lebih sesuai jika berniaga ataupun yang bukan entiti kerajaan kerana sebagai kerajaan, kita mempunyai banyak tanggungjawab (yang wajib dilaksanakan)”.Sementelah pula, Kerajaan Negeri mentadbir sebuah negeri berkeluasan 3.6 juta hektar yang jika seekar bernilai RM10,000 bermakna Kerajaan Negeri katanya, sudahpun memiliki hartanah bernilai ribuan juta ringgit. (Menurut perkiraan, 3.6 juta hektar atau bersamaan [3.6 juta hektar X 2.47 ekar] 8.9 juta ekar X RM10,000 = RM89,000 juta atau RM89 billion sebenarnya nilai hartanah yang Kerajaan Negeri miliki].


Adnan Yaakob kelihatan berhujah menggulung perbahasan Bajet 2009 

Dan setiap kali bajet defisit dibentangkan kata Dato’ Seri Adnan lagi, setiap kali itulah juga kerajaan tetap menyediakan peruntukan tertentu untuk rancangan-rancangan pembangunan negerinya. “Bajet defisit bukan bermakna bajet tidak baik. Kalau negeri Pahang ini kita mahukan bajet yang ‘surplus’ atau bajet berimbang, kita boleh, tapi kita hanya setakat (mampu) membayar gaji pegawai dan kakitangan kerajaan, dan mungkin kita boleh buat satu jambatan, tiga surau, setengah masjid. “Oleh kerana kita tumpukan pembangunan untuk rakyat, maka kita buat bajet defisit (belanja mengurus lebih besar daripada hasil negeri). Dan kita bukan berhutang dengan orang lain. Kita berhutang dengan tok- ayah kita. Kita berhutang dengan tok-nenek kita. “Siapa tok-ayah kita, siapa tok-nenek kita? Kerajaan Persekutuan. Walaupun kita mempunyai hutang lebih RM1.3 billion, semuanya ialah untuk sistem bekalan air dan untuk rumah kos rendah. Ini semua untuk rakyat,” katanya lagi. Apatah pula menurut Dato’ Sri Adnan, Kerajaan Negeri telah banyak berkorban demi negara khususnya dalam bentuk pemeliharaan hutan yang dengan itu dapat menjamin alam sekitar tidak tercemar.

Semua sungai yang mengalir di negeri-negeri yang bersempadan dengan negeri ini seperti sungai-sungai di Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu mahupun Kelantan katanya, hulu-hulunya berasal dari negeri ini sendiri.“Ianya berasal dari hulu-hulu di Banjaran Titiwangsa yang letaknya dalam negeri Pahang. Itu sebabnya kita katakan, (oleh kerana memelihara hutan lalu tidak tebang hutan untuk menambah hasil negeri) wajar Kerajaan Persekutuan memberi sedikit-sebanyak kelonggaran kepada Kerajaan Negeri Pahang,”katanya. Kerajaan Negeri juga katanya, tidaklah pula menerima royalti minyak yang jika memperolehinya dengan jumlah RM500 juta setahun misalnya, Kerajaan Negeri bolehlah untuk tidak perlu lagi mengutip cukai tanah sekalipun. Sebaliknya, cukai-cukai yang dikutip ada yang wajib disalurkan kepada Kerajaan Pusat seperti cukai jualan sebanyak RM103.3 juta dan cukai perkhidmatan, RM39.5 juta yang dikutip di negeri ini sepanjang tahun lepas. Dan cukai-cukai ini pula untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini sahaja (Januari – Oktober) katanya, telah meningkat kepada RM123.2 juta dan RM42 juta.


No comments: