PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

14 November 2008

Pahang Bentang Bajet Defisit 2009

KUANTAN, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang hari ini membentangkan Bajet defisit untuk tahun ke-11 berturut-turut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Bajet 2009 akan mengalami defisit sebanyak RM98.61 juta berbanding defisit 2008 iaitu RM50.36 juta.

"Sejumlah RM925.27 diperuntukan bagi perbelanjaan tahun 2009; RM560.47 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM364.8 (peruntukan kerajaan pusat) untuk pembangunan.

"Bajet tahun 2009 masih dalam keadaan defisit iaitu sebanyak RM98.61 juta, meningkat sebanyak RM48.25 juta dari Bajet 2008," katanya ketika membentangkan Bajet 2009 Kerajaan Negeri Pahang pada persidangan Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan negeri Pahang ke-12 di sini.

Adnan berkata perbelanjaan mengurus meningkat tinggi pada 2009 kerana menampung kenaikan gaji dan elaun kakitangan kerajaan negeri di samping meneruskan usaha menambah kecekapan jentera pelaksana di peringkat dasar melalui penstrukturan semula penjawatan dan penambahan kakitangan.

"Hasil pada tahun 2009 dijangka sebanyak RM461.86 juta berbanding dengan hasil tahun 2008 sebanyak RM467.04 juta. Perbelanjaan mengurus tahun 2009 meningkat kepada RM560.47 juta.

"Pada awal tahun 2008, kerajaan negeri menjangkakan pertumbuhan ekonomi negeri boleh berkembang sebanyak 4.8 peratus, iaitu 0.5 peratus lebih rendah dari angka 2007.

"Kenaikan harga minyak dan krisis kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah telah mengurangkan eksport barangan dari Malaysia termasuk Pahang ke negara berkenaan. Akibatnya harga barangan komoditi minyak kelapa sawit dan getah telah merudum. Kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi juga akan lebih rendah daripada 4 peratus, mungkin ikut menurun kepada 3 peratus sebagaimana angka pertumbuhan ekonomi negara yang dikaji semula," kata Adnan.

Menteri Besar Pahang berkata beliau amat berharap projek pembangunan berimpak tinggi seperti pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) segera dilaksanakan bagi merancakkan proses pembangunan negeri itu.

"Perlaksanaan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur akan mempercepatkan proses pembangunan negeri menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam bidang pertanian termasuk penternakan dan perikanan, dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi yang berasaskan sumber pertanian," katanya.

Beliau berkata penyediaan kemudahan infrastruktur menjadi pelengkap kepada projek di bawah pelaksanaan ECER.

"Saya berasa sedih kerana mendapat tahu peruntukan di bawah ECER ini akan dipotong di bawah kajian separuh Penggal RMK-9 memandangkan suasana ekonomi semasa tetapi saya percaya ia tidaklah diabaikan langsung. Projek yang penting dan berimpak tinggi sewajarnya mesti terus dilaksanakan," kata Adnan.

Ketika membentang bajet berkenaan, Adnan berkata beliau tidak lagi mahu menyentuh mengenai usaha mencari punca hasil baru kerajaan negeri kerana perkara itu telah diulangi bertahun-tahun tetapi tidak berhasil.

"Namun begitu kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menceburkan diri dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat. Kerajaan negeri melalui agensinya Pahang Technology Resources (PTR) telah cuba mendapatkan sebahagian daripada kerja-kerja projek jalur lebar berkelajuan tinggi.

"PTR tidak berniat bersaing dengan Telekom Malaysia (TM) tetapi melengkapi apa yang TM laksanakan. Volume pasaran dan pengguna bidang ini sangat besar dan memang wajar dikongsi.

"Jika usaha ini tidak berjaya kita boleh ucapkan selamat tinggal kepada usaha mencari punca hasil baru untuk negeri," katanya.

-- BERNAMA

No comments: