PERBAHASAN LANGSUNG DARI PARLIMEN MALAYSIA

17 November 2008

PAKATAN RAKYAT TIDAK AKAN MENGUBAH PERLEMBAGAAN

by Wan Fauzdin

Sejak kebelakangan ini rakyat di negara kita ditiupkan dengan semangat perkauman. Tidak mengira bangsa dan suku apa sekalipun, masing-masing menyuarakan hak dan kepentingan bangsa masing-masing. Apabila satu-satu bangsa menuntut hak kepentingan masing-masing, maka untuk menyelesaikan masalah perkauman yang kronik ini memerlukan pemimpin yang berwibawa dan dihormati oleh semua bangsa dan kaum di negara ini. Pemimpin UMNO telah pun mencuba sejak berpuluh tahun mengatasi masalah ini, namun isu perkauman yang seolah-olah telah berakhir semenjak peristiwa 13 Mei, kini muncul kembali dan lebih serius selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lepas.

Apabila pemimpin UMNO serta dibantu oleh parti komponen yang lain terbukti gagal mengatasi masalah perkauman, maka rakyat perlu memikirkan kembali apakah BN yang ditunjangi oleh UMNO ini harus dikekalkan sebagai kerajaan. Situasi terbaru sekarang pun menunjukkan beberapa parti komponen BN mula memandang sinis kebolehan UMNO untuk menyelesaikan masalah perkauman ini. Tidak hairanlah tumpuan mereka kini sehala dengan tumpuan rakyat melihat kepada Pakatan Rakyat untuk mengatasi kemelut yang bakal mendatangkan bahaya ini. Mengapa Pakatan Rakyat boleh dipercayai untuk menyelesaikan isu perkauman yang berlaku sekarang? Adakah Pakatan Rakyat berhajat untuk melanggar Perlembagaan Negara yang menetapkan hak keistimewaan orang-orang Melayu, hak Raja-Raja Melayu dan juga Agama Islam? Sudah semestinya tidak, dan mustahil Pakatan Rakyat akan melakukan pengkhianatan sedemikian rupa. Pemimpin Pakatan Rakyat telah mengenal pasti mengapa isu perkauman kini menjadi satu isu yang begitu merungsingkan masyarakat, dan Pakatan Rakyat pastinya mempunyai langkah-langkah yang bijaksana untuk menyelesaikan isu ini TANPA mengubah, meminda atau mengusik sedikit pun apa yang terdapat di dalam Perlembagaan.

Bertepatan pula, nama-nama parti yang terdapat di dalam Pakatan Rakyat satu pun tidak menunjukkan kecenderungan parti berkenaan ke arah satu-satu kaum tertentu. Nama PKR (Parti KeADILan Rakyat), PAS (Parti Islam Se Malaysia) dan DAP (Democratic Action Party) tidak menyebut tentang nama bangsa dan kaum tetapi `universal' kepada semua golongan masyarakat. Mereka yang cintakan keadilan mungkin lebih berminat kepada PKR, mereka yang ingin demokrasi yang tulen berharap kepada DAP dan bagi mereka yang komited di dalam memperjuangkan Islam yang di dalamnya terdapat kesemua tuntutan yang baik untuk manusia dan semua bangsa tiada pilihan lain kecuali bersama PAS. Mari kita lihat tubuh badan UMNO itu sendiri. UMNO (United Malays National Organisation) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, menunjukkan UMNO adalah parti yang ditubuhkan untuk orang-orang Melayu walaupun nama singkatannya adalah dari bahasa penjajah. UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 mempunyai sejarah hitam apabila pernah diharamkan oleh mahkamah, tetapi tubuh badan yang sama telah diberikan baju baru bercorak yang sama oleh Tun Mahathir. Walaupun berwajah baru, dasar UMNO tidak berubah dan ianya tetap parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

Tidak menjadi kesalahan untuk memperjuangkan hak orang-orang Melayu, tetapi UMNO telah melakukan kesilapan apabila parti ini diberi kuasa sebagai pemerintah di dalam kerajaan. UMNO bukan sahaja gagal membela nasib orang-orang Melayu tetapi gagal memberikan keadilan kepada bangsa-bangsa lain yang juga rakyat di negara ini. Begitu juga rakan-rakan mereka seperti MCA dan MIC, mereka tidak berupaya untuk memperjuangkan bangsa mereka sendiri. Maka, jadilah UMNO, MCA dan MIC parti yang hanya disokong oleh mereka yang berkepentingan semata-mata. Jika ada pun rakyat bawahan yang menyokong parti-parti ini, sokongan mereka adalah satu harapan agar nasib mereka akan lebih baik. Malang sekali, penghidupan mereka semakin sukar tambahan di waktu sekarang, sedangkan pemimpin parti yang mereka harapkan membela mereka tidak sudah-sudah bercakaran sesama sendiri dan bermain catur untuk mendapatkan jawatan dan harta.

Seandainya kita melihat dengan mata hati dan membaca dengan akal fikiran yang bijak, tiada parti lain lagi yang boleh kita harapkan untuk kesejahteraan kehidupan kita dan warisan akan datang melainkan bersama Pakatan Rakyat. Seandainya Pakatan Rakyat gagal setelah diberi peluang memimpin negara ini, kita punyai hak untuk menghukum parti tersebut dan mencari wadah baru yang boleh kita harapkan. Apa yang penting kita perlu berani mencuba mengubah nasib kita kerana jika kita tetap menaruh harapan kepada parti yang kini terang-terangan gagal membela kita, kita telah meletakkan diri kita setaraf dengan `hamba' yang akan kekal hingga ke akhir zaman.

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

No comments: